KUANTAN, 5 Januari – Walaupun sibuk dengan jadual harian yang padat, namun ia bukan alasan untuk meluangkan masa menziarahi pengundi di kawasan DUN Panching.
Ia sudah menjadi kebiasaan bagi ADUN Panching, Mohd Tarmizi Yahaya apabila dipilih sebagai wakil rakyat sejak penggal lalu.
Ini adalah penggal kedua bekas ketua penerangan PAS Pahang itu bergelar wakil rakyat.
Sepanjang minggu lalu, Tarmizi meluangkan masa menyantuni penduduk di sekitar RRM Permatang Badak.
“Sudah tentu program ziarah ini sangat memberi makna kepada saya.
“Dapat bertemu dan bertanya khabar dengan mereka, di semua peringkat usia,” katanya melalui satu hantaran di laman sosial Facebook.
Tarmizi turut mengingatkan supaya budaya ziarah-menziarahi itu terus disuburkan.
Ini terutamanya menjaga ibu bapa yang uzur atau sakit terlantar.
“Menjaga orang sakit khususnya ibu bapa adalah perkara yang sangat dituntut oleh Islam, terutamanya anak-anak yang tinggal bersama ataupun berdekatan.
“Kasihlah padanya selagi masih ada dan jalankan tugas sebagai anak sebaik mungkin,” katanya lagi.— nasionalkini.my