in

RM20 juta untuk tambah baik fasiliti pelancongan

IMG 20230604 WA0008
Abdul Razak melihat kesan cat yang tertanggal pada lukisan dinding yang menceriakan bangunan sempena TMM2024 tahun hadapan

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 4 Jun – Kerajaan negeri Melaka akan memohon peruntukan tambahan RM20 juta daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) bagi tujuan penambahbaikan kemudahan pelancongan negeri itu.

Exco Pelancongan, Warisan , Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, bajet tambahan itu diperlukan untuk menyelesaikan baki 30 peratus lagi persiapan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan.

“Untuk persediaan TMM2024 ini, kerajaan negeri ada peruntukan kita selain turut mendapat kerjasama baik daripada MOTAC yang sentiasa membantu kita.

“Kita juga sudah mohon daripada MOTAC sekitar RM15 juta hingga RM20 juta tambahan untuk baki 30 peratus lagi kerja penambahbaikan dari segi kemudahan dan keceriaan lokasi pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan persediaan kerajaan negeri menghadapi TMM2024 di lokasi tumpuan pelancong sekitar bandar Melaka di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, antara penambahbaikan yang akan dilakukan termasuklah memasang lampu di lorong sekitar Jonker Walk selain memasang papan tanda untuk menambah keceriaan dan keselesaan pelancong.

“Kita mencadangkan kawasan lorong belakang ini yang saya nampak sudah ada kemudahan mungkin kita tambah baik contohnya pada hujung minggu di jalan belakang tu pun kita boleh aktifkan seperti bahagian depan Jonker Walk,” katanya. – nasionalkini.my

349078329 630666948667168 7013368610691208918 n

Takkan sampai dalam PRN pun nak kerjasama, sedangkan kita boleh menang sendiri

Hari Melaka bebas kenderaan perlu kajian terperinci