in

Hari Melaka bebas kenderaan perlu kajian terperinci

Abdul Razak dan Poay Tiong sempat bertanya khabar pelancong ketika melakukan tinjauan persediaan kerajaan negeri menghadapi TMM2024 di lokasi tumpuan pelancong sekitar bandar Melaka di sini hari ini

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 4 Jun – Pelaksanaan hari Melaka bebas kenderaan pada setiap hujung minggu yang dicadangkan sebelum ini masih di peringkat kajian.

Exco Pelancongan, Warisan , Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, apa yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusuh sebelum ini hanyalah dalam peringkat percubaan dan kajian.

Menurutnya, kerajaan perlu melihat pandangan dari pelbagai pihak sebelum usaha untuk mengurangkan kesesakan jalan raya pada hujung minggu itu dilaksanakan.

“Untuk hari Melaka bebas kenderaan, majlis mesyuarat kerajaan negeri (EXCO) sebenarnya dalam kajian (dan) mungkin apa dimaklumkan Ketua Menteri itu dalam kajian atau akan laksanakan dari segi percubaan dahulu.

“Pandangan saya sebagai Exco Pelancongan, kita harus buat kajian terperinci untuk memberi keselesaan kepada pengunjung, pemain industri pelancongan, semua sudut kita akan ambil maklum.

“Kita akan kumpulkan dari sudut pandangan pelancong, masyarakat, peniaga dan sebagainya, kita akan buat kajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan persediaan kerajaan negeri menghadapi TMM2024 di lokasi tumpuan pelancong sekitar bandar Melaka di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Datuk Bandar  Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Nasionalkini pada 25 Mei lalu melaporkan kebimbangan kira-kira 2,000 peniaga restoran, kraftangan dan perkhidmatan di Banda Hilir yang bakal terjejas sekiranya perancangan itu diteruskan. – nasionalkini.my

IMG 20230604 WA0008

RM20 juta untuk tambah baik fasiliti pelancongan

Konsert Kasih Pengasih 2023 untuk kumpul dana