CHUKAI, 2 Disember – PAS mengekalkan penguasaan di kerusi parlimen Kemaman apabila calonnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendahului dengan majoriti 37,220 undi hasil kiraan daripada 249 keseluruhan peti undi bagi pilihan raya kecil (PRK) itu.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman, malam ini.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala lawannya dari calon BN, Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan 25,023 undi.
Majoriti diperoleh calon PAS kali ini melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.
“Sebanyak 428 kertas undi ditolak dengan jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 65.76 peratus,” katanya menurut laporan BH Online.
Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar mengundi bagi PRK Kemaman sehingga jam 4 petang adalah 60 peratus.
Seramai 141,382 pengundi berdaftar layak memilih wakil rakyat baharu pada PRK Kemaman kali ini.
Untuk rekod, kerusi parlimen Kemaman sebelum ini diwakili BN menerusi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selama tiga penggal, sebelum bertukar tangan kepada Che Alias pada PRU14.
Pada PRU15, Che Alias berjaya mempertahankan kerusi parlimen Kemaman apabila menewaskan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.
Che Alias memperoleh undi 65,714 undi, manakala Ahmad mendapat 38,535 undi. Bagaimanapun, kemenangan Che Alias terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu menerima petisyen difailkan calon BN, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.— nasionalkini.my