KUANTAN, 30 Mac – Kerajaan melalui pihak berkuasa berkaitan perlu menguatkuasakan larangan pengguna nama mengelirukan pada produk, terutamanya produk makanan.
Ini kerana terdapat beberapa laporan mengenai jenama makanan dihasilkan bukan Islam, namun menggunakan cap dagangan seperti ‘masjid’ atau nama bercirikan Melayu-Islam.
AJK Badan Perhubungan Perikatan Nasional Pahang, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai contoh, boleh mengambil tindakan pencegahan awal apabila pemilik syarikat bukan Islam mendaftar perniagaan dengan nama yang boleh mengelirukan pengguna.

“Dalam hal ini kita merujuk kepada syarikat bukan Islam menghasilkan produk makanan seperti pau, mee kuning, karipap segera dan pelbagai lagi makanan sejuk beku lain,” katanya.
Dia berkata, penyalahgunaan jenama mengelirukan ini boleh dirujuk sebagai cubaan menipu dan boleh dikenakan tindakan mengikut Kanun Keseksaan.
“Kalau perlu dibuat laporan polis atau kepada mana-mana agensi penguat kuasa apabila mengesan perbuatan mengelirukan pengguna seperti ini, maka perlu dibuat segera (laporan),” jelasnya.
Abdul Rasid yang juga Ketua BERSATU Cameron Highlands berharap kerjasama antara polis, SSM, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Agama Islam negeri dapat menghalang perkara seumpama ini berleluasa.
“Dah macam-macam benda berlaku, tahun lepas ada yang mempromosikan nasi kandar daging babi secara terbuka.
“Ini sangat mengecewakan, sebab nasi kandar itu sudah sinonim dengan orang Melayu.
“Mufti Terengganu pun ada tegur hal ini kerana ia satu perbuatan yang cuba mengelirukan orang ramai,” katanya.

Begitu juga dengan insiden bebola ikan dihasilkan bukan Islam pada tahun 2017, sudah tentu status halalnya meragukan.
“Kalau kita (pihak berkuasa) tidak tegas, kejadian seperti ini akan terus berlaku.
“Kita dah macam terlalu bertolak ansur… akhirnya secara beransur-ansur, kita yang kena tolak dengan mereka,” katanya.– nasionalkini.my