in

Kaji semula cadangan zon bebas kenderaan

Peniaga melihat keadaan Jalan Merdeka di hadapan Plaza Mahkota yang dicadangkan untuk menjadi zon bebas kenderaan pada setiap hari Jumaat hingga Ahad bermula pertengahan Jun ini

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 25 Mei – “Ekonomi kami baru nak pulih lepas tiga tahun terjejas akibat COVID-19 dan kini bakal berdepan masalah apabila pelancong sukar memasuki kawasan ini setelah dijadikan zon bebas kenderaan hujung minggu,”.

Itu antara luahan sebahagian peniaga restoran, kraftangan dan perkhidmatan di Banda Hilir menyuarakan kebimbangan jika cadangan itu dilaksanakan bulan depan.

Dianggarkan terdapat kira-kira 2,000 peniaga bakal terjejas sekiranya perancangan itu diteruskan.

Pengerusi Persatuan Peniaga Bangunan Plaza Mahkota, Saharudin Mohd Noh, 56, berkata, mereka tidak menolak usaha memajukan sektor pelancongan negeri, namun ia perlulah mendapatkan pandangan daripada peniaga.

“Setakat ini, kami hanya tahu mengenai cadangan ini melalui laporan media, namun tidak pernah terlibat dalam perbincangan dengan mana-mana pihak.

“Ini boleh mendatangkan masalah lain pada masa hadapan kerana kami (peniaga) juga berhak mengetahui apakah kesan daripada pelaksanaan (cadangan) ini.

“Dalam keadaan cuaca panas dan kemudahan parkir dan bas pengantara tidak mencukupi, hampir mustahil sebenarnya untuk menjadikan pusat bandar Melaka ini sebagai zon bebas kenderaan setiap hujung minggu,” katanya ketika ditemui media, di sini hari ini.

Pada 11 Mei lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilaporkan berkata, kawasan pelancongan di sekitar Banda Hilir akan dijadikan zon bebas kenderaan bermula Jumaat hingga Ahad yang dijangka dilaksanakan pada bulan depan.

Menurutnya, kajian mengenai perkara itu sedang dibuat dan tempoh percubaan akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Antara kawasan dikenal pasti bagi zon berkenaan adalah termasuk Jonker Walk dan pusat beli belah Dataran Pahlawan

Pandangan sama disuarakan pengusaha salon, Ben Quek, 50, yang turut bimbang akan berlaku kesesakan lebih teruk jika cadangan itu dilaksanakan.

“Tambahan pula, kawasan Banda Hilir ini juga ada pusat perubatan swasta yang tentunya akan menyukarkan pengunjung pelancong kesihatan,” katanya.

Pengerusi Peniaga Uptown Pahlawan Walk, Wan Haizi Abdul Rahim, 43, berharap, kerajaan dapat mengadakan dialog bersama peniaga di kawasan itu bagi mewujudkan situasi menang-menang antara kerajaan dan rakyat.

“Sebelum ini, ketika PKP (perintah kawalan pergerakan) pendapatan kami terjejas hampir 80 peratus dan mungkin perkara sama juga akan berlaku jika pelancong semakin sukar untuk datang ke tempat tumpuan pelancong ini.

“Jika terpaksa berjalan kaki masuk ke zon bebas kenderaan ini, pastinya pelancong juga tidak sanggup bersusah payah berjalan sejauh tiga kilometr membawa botol cencalok yang berat dan produk kraftangan bersaiz besar,” katanya. – nasionalkini.my

Tiada kes jual sijil libatkan IPTS – KPT

IMG 20230525 WA0046

Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah, dera dua anak