OLEH: Arman Dhani Zafir
KUANTAN, 25 Mei – Sepasang suami isteri yang didakwa mendera dua anak mereka hingga mengalami kecederaan fizial Januari lalu, di hadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh pertama, Noor Aliff Ridzwan Zakaria, 29, dan tertuduh kedua, Nur Shafiqah Rosli, 28, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.
Noor Aliff Ridzwan merupakan bapa tiri mangsa manakala Nur Shafiqah pula adalah ibu kandung mereka.
Kedua-dua mereka pertama kali didakwa mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di bawah jagaan mereka hingga menyebabkan mengalami kecederaan fizikal dan dalam pertuduhan kedua, mereka telah melakukan kesalahan yang sama, ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bukit Rangin dekat sini pada Januari tahun ini.
Dengan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga boleh dikenakan bon berkelakuan baik dan diperintahkan untuk berkhidmat selama 240 jam kerja komuniti dalam tempoh enam bulan.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Haryati Abdullah mencadangkan jaminan RM15,000 dikenakan bagi setiap tertuduh dan mencadangkan syarat tambahan supaya pasangan itu menyerahkan pasport antarabangsa, melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu kedua-dua mangsa sehingga kes selesai.
Dalam mitigasi, peguam Mohamad Hamizey Mat Taib yang mewakili Noor Aliff dan Nur Shafiqah jaminan hanya untuk memastikan anak guamnya akan hadir ke mahkamah.
Mohamad Hamizey berkata, Noor Aliff Ridzwan berpendapatan RM2,500 sebulan sebagai pemandu lori dan menyara ibu bapanya yang sudah tua yang tinggal di Lanchang, Temerloh.
“Bagi Nur Shafiqah pulan walaupun dia merupakan merupakan anak bongsu daripada dua beradik tetapi mempunyai seorang abang OKU yang perlu dijaga.
“Kedua-dua tertuduh menetap di Kuantan dan saya harap jumlah jaminan dikurangkan memandangkan RM15,000 adalah tinggi. Saya percaya mereka tiada masalah untuk mematuhi syarat tambahan itu,” katanya.
Mohammed Mokhzani menetapkan jaminan RM12,000 kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh tidak mendekati mangsa yang kini berada di bawah jagaan neneknya.
Mereka juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan 4 Julai depan. nasionalkini.my