Oleh Luth Adwa
JOHOR BAHRU, 10 Julai – Sebanyak 9.14 juta pelancong dicatatkan memasuki negeri ini sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April 2022.
Ia merupakan jumlah tertinggi berbanding negara ASEAN lain.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata, ekoran itu, kerajaan negeri optimis mencapai sasaran ketibaan 10 juta pelancong untuk tahun ini.
“Menerusi kerjasama dan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta agensi berkaitan, misi menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan utama negara mampu direalisasikan.
“Terima kasih kepada Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing kerana bersetuju menyalurkan peruntukan RM3.5 juta bagi kerja menaik taraf infrastruktur kawasan pelancongan di Johor.
“Johor adalah negeri yang mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, termasuk dengan keindahan pulau, taman negara, warisan budaya dan sejarah, festival ikonik serta syurga makanan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Onn Hafiz turut memberikan contoh daerah Mersing yang terkenal dengan keindahan pulau, taman negara yang kaya dengan khazanah alam dan Kampung Sungai Melayu.
Katanya, lokasi itu boleh dijadikan sebagai ekopelancongan, antara lokasi mampu diketengahkan.- nasionalkini.my