in

Jimat belanja hingga 30 peratus di Jualan Ehsan Rahmah

KPDN memperuntukkan RM100 juta bagi melaksanakan inisiatif Payung Rahmah serta Program Jualan Rahmah di seluruh negara - Gambar hiasan

AMPANG, 12 Julai – Penganjuran Jualan Ehsan Rahmah yang menawarkan penjimatan harga barangan sehingga 30 peratus sangat membantu golongan berpendapatan rendah,terutamanya di bandar besar.

Sebagai contoh, program jualan yang diadakan di Dewan Orang Ramai Taman Sri Ampang, dekat sini, sejak pagi tadi bukan sahaja menerima sambutan luar biasa, tetapi turut mendapat pujian orang ramai.

Mereka berpandangan program seumpama itu perlu diadakan lebih kerap bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan asas pada harga paling berpatutan.

Nur Syazana Lokman

Nur Syazana Lokman ketika ditemui pada program itu berkata, pihak penganjur perlu mempelbagaikan lagi barangan jualan mereka supaya pengunjung mempunyai banyak pilihan.

“Kalau boleh, tambah barangan lain seperti sayur-sayuran dan buah-buahan pada masa akan datang.

“Barangan lain itu memang murah, macam beras lima kilogram, biasanya kita beli RM15, tapi hari ini cuma RM10, jadi memang membantulah kami,” katanya.

Bagi suri rumah, M Thannlemy pula, program jualan seperti itu perlu diadakan lebih kerap sebagai usaha meringankan bebanan kos sara hidup tinggi ketika ini.

“Ini kali kedua saya sempat berbelanja di program jualan Rahmah, kali pertama bulan Ogos tahun lalu,” katanya.

M Thannlemy

Seorang pesara, Linda Chin pula memberitahu, dia mengunjungi program itu jam 9.30 pagi lagi untuk mendapatkan bekalan telur, ayam dan beras.

“Ini semua untuk diagihkan kepada kawan-kawan saya yang kurang berkemampuan.

“Jadi saya datang awal dan beli barangan ini di sini, selain boleh berjimat, dalam masa sama boleh tolong orang susah,” katanya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukkan RM100 juta bagi melaksanakan inisiatif Payung Rahmah serta Program Jualan Rahmah di seluruh negara.- nasionalkini.my

Terengganu Inc diiktiraf ‘Majikan Prihatin’

Penjara 15 bulan tipu jual batu delima