Oleh Aimy Maisarah
TUMPAT, 22 Julai – Usia emas tidak menghalang pengusaha produk industri kecil dan sederhana (IKS), Wan Samsiah Wan Mohd Nor, terus menghasilkan produknya di bawah jenama Zaniz Heritage.
Lebih memberi inspirasi apabila wanita berusia 71 tahun itu gigih bergerak aktif meskipun menggunakan kerusi roda meneruskan perniagaan yang diusahakan termasuk sos colek buah dan sayuran serta pes ibu sambal hasil air tangannya sendiri.
Kesungguhan dan kecekalan yang ditempuhi melayakkan beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Usahawan Wanita Daerah Tumpat 2010 dan dilantik sebagai Ketua Usahawan Kecil Wanita Negeri Kelantan bagi Dewan Undangan Negeri Kelaboran, Tumpat.
“Inilah minat saya dan tidak akan berhenti melakukannya dan sedia berkongsi idea bersama golongan muda yang berminat dalam dunia perniagaan,” katanya kepada nasionalkini.my
Meskipun tidak mampu bergerak seperti individu lain berikutan faktor kesihatan yang dialami sejak lapan tahun lalu namun tidak menghalang terus aktif dalam dunia perniagaan.
Malah dia kini berjaya mengeluarkan kira-kira 3,000 botol sos dalam masa sebulan untuk pasaran domestik sahaja yang dibantu beberapa pekerja.
Menurut ibu kepada tiga anak berusia antara 47 tahun hingga 55 tahun itu, banyak cabaran yang dilalui termasuk diuji dengan keadaan kesihatan yang teruk beberapa tahun kebelakangan ini.
“Akibatnya, saya tidak boleh berjalan bermula tahun 2015 selain perlu berulang-alik ke hospital selama enam tahun dan kini terpaksa menjadi kerusi roda sebagai ‘teman’ untuk bersama setiap masa.
Namun wanita hebat itu mengakui kesusahan yang dialami langsung tidak mematahkan untuk teruskan perniagaan yang dijalankan sejak usia muda lagi.
Malah suaminya yang menjadi pendorong utama, suami, Nik Mohd Zaid Nik Ismail, 78.menjadikan wanita hebat ini terus bersemangat.
Nenek kepada 14 cucu dan seorang cicit itu kini bersyukur penat lelah menghasil produk makanan mendapat perhatian daripada agensi yang terlibat dalam industri IKS termasuk sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sirim dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Saya tidak pernah lelah menghabiskan masa menghadiri seminar atau kursus untuk mendapatkan ilmu pengetahuan mengenai maklumat berkaitan,” katanya. – nasionalkini.my