in

Singgora tawar pengalaman jamu selera suasana kampung

Keunikan reka bentuk Singgora menggamit orang ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negara menjamu selera dalam suasana kampung

Oleh Aimy Maisarah

SIAPA sangka rumah dengan seni bina Melayu tradisional terletak di tengah bandar Kota Bharu, Kelantan, turut berperanan sebagai tempat menjamu selera hidangan kampung.

Dibina dari binaan kayu cengal lama dan atap singgora, rumah penginapan dinamakan Singgora itu terletak di Kampung Air Deras, Pasir Hor, kira-kira empat kilometer dari ibu negeri Kelantan.

Singgora menyediakan pelbagai juadah tradisional Melayu seperti ikan rebus goreng, ayam kampung goreng, solok lada, cendawan sisir, gulai lemak siput sawah, ulam-ulaman serta pelbagai jenis kuih tradisional.

Singgora menyediakan pelbagai juadah tradisional Melayu seperti ikan rebus goreng, ayam kampung goreng, solok lada, cendawan sisir, gulai lemak siput sawah, ulam-ulaman serta pelbagai jenis kuih tradisional

Kesedapan menu masakan Melayu tradisi ini menjadikan Singgora sentiasa dipenuhi pelanggan dari kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Pemilik Singgora, Mohamad Salleh, 47, berkata, rata-rata pelanggan memilih untuk menjamu selera di situ kerana ingin menikmati hidangan dalam suasana kampung.

Ia seolah-olah membawa mereka kembali ke alam kanak-kanak.

Katanya, bagi mencipta suasana kampung, persekitaran rumah Singgora ditanam dengan pelbagai jenis pokok herba seperti halia, kunyit dan limau purut.

Sebahagian pelajar universiti dari Amerika Syarikat tidak melepaskan peluang menikmati masakan kampung di Singgora baru-baru ini

“Pelanggan datang ke sini selain untuk menikmati hidangan kampung, ada juga yang datang untuk bergambar dan menjadikan rumah Singgora dan juga persekitaran sebagai latar belakang,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan Singgora bermula ketika beliau membeli tanah berkenaan pada tahun 2005 dan sejak itu beliau mula mengumpul kayu cengal dari 12 buah rumah lama yang ingin dirobohkan.

Projek pembinaan rumah dengan gabungan seni bina Kelantan dan Terengganu itu bermula 2015 dan siap dua tahun kemudian.

Mohamad (kanan) melayan pengunjung dari luar negara yang datang untuk menjamu selera di Singgora

“Saya amat meminati seni bina rumah tradisional, sekali gus memberi ilham kepada saya untuk membina rumah Singgora ini di atas tanah seluas 700 kaki persegi,” katanya.

Orang ramai yang mahu menjamu selera di Singgora perlu melayari laman sosial Facebook https://www.facebook.com/rumahsinggora?mibextid=ZbWKwL dan membuat tempahan terlebih dahulu kerana tiada perkhidmatan ‘walk-in’ disediakan di premis itu.- nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

IMG 20230629 163818 scaled

RM188 bilion peruntukan Belanjawan 2023 telah dibelanjakan

FB IMG 1689326282090

Penerima STR terima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) RM600