Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 13 Julai – Kerajaan negeri mahu laporan penuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kesang di Sungai Rambai, Jasin di sini segera dibentangkan untuk mengatasi masalah banjir kilat di selatan negeri ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, projek berkenaan diteruskan semula selepas terbengkalai enam tahun lalu.
“Semalam, saya ada turun padang melihat keadaan banjir kilat yang berlaku di dua buah kampung iaitu Kampung Lancang dan Kampung Janda Berhias melibatkan 44 mangsa daripada 11 buah keluarga.
“Masalah banjir kilat ini kerap berlaku, sampai sudah tiga kali sejak saya dilantik jadi Exco bertanggungjawab yang mana ia boleh diselesaikan melalui projek RTB Sungai Kesang.
“Sebab itu saya minta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka segera bagi laporan penuh bila projek RTB itu boleh diselesaikan,” katanya selepas merasmikan Program Kesedaran Kebersihan Jonker Walk Melaka di Pejabat Persatuan Jonker Walk, Jalan Kubu di sini hari ini.
Sebelum ini, lebih 3,000 penduduk di sekitar Sungai Rambai merayu kerajaan meneruskan semula projek RTB berkenaan yang terbengkalai sejak enam tahun lalu.
Dakwa mereka, projek bermula 2017 yang telah 40 peratus siap namun terbengkalai antara punca utama kawasan sering ditenggelami banjir setiap kali hujan lebat.
Mengulas lanjut, Rais berharap penduduk berkenaan dapat bersabar kerana terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan susulan projek terletak antara sempadan dua negeri, Melaka dan Johor. – nasionalkini.my