KUALA LUMPUR, 28 Julai – Gara–gara tidak puas hati dkenakan saman oleh anggota polis di atas kesalahan memandu sambil menggunakan telefon, seorang model wanita mengamuk dan menghambur kata-kata kesat ke arah polis.
Video mengenai kejadian tersebut tular di aplikasi TikTok sejak semalam menunjukkan tindakan wanita tersebut yang mempersoalkan beberapa anggota polis yang sedang bertugas.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian yang berlaku di Jalan Tun Sambanthan itu, suspek berusia 30-an tidak puas hati kerana disaman dengan kesalahan memandu menggunakan alat komunikasi dan tidak memakai tali pinggang semasa memandu.

“Kejadian provokasi terbabit dikatakan berlaku pada 3.40 petang Isnin lalu dan sehingga kini, video terbabit masih boleh diakses serta mempunyai 274 perkongsian di Facebook dan 5,414 perkongsian di Tiktok dan dikhuatiri boleh menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugasnya, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amihizam juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah boleh disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – nasionalkini.my