in

Nilam Optik kekal bertahan lepas 13 tahun operasi

Mordyadi dan Ros Azilawati di hadapan kedai Nilam Optik milik mereka yang sudah beroperasi sejak 13 tahun lalu

KUANTAN, 19 Julai – Tidak banyak kedai cermin mata milik Bumiputera yang mampu bertahan selepas diuji pandemik COVID-19.

Walaupun berdepan kesukaran untuk menstabilkan perniagaan, namun Nilam Optik masih mampu bersaing dalam pasaran makin mencabar ketika ini.

Jenama Nilam Optik dibangunkan bersama pasangan suami isteri, Mordyadi Mohd Zain dan Ros Aslizawati Alwi sejak tahun 2010.

Mordyadi yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal mengakui cabaran dihadapi mereka semakin sengit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Antara rangkaian bingkai cermin mata ditawarkan kepada pelanggan Nilam Optik

“Kuasa membeli oleh pengguna semakin terbatas ketika ini, jadi kami perlu memperkenalkan pakej yang lebih kompetatif untuk ditawarkan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui wakil nasionalkini.my baru-baru ini.

Dia berkata, antara pendekatan diambil pihaknya adalah menawarkan pakej promosi Rahmah dengan potongan sehingga 30 peratus daripada harga asal kepada pelanggan mereka.

“Selain itu, kami juga menyediakan baucer potongan harga antara RM100 hingga RM200 kepada mereka yang memerlukan, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan,” katanya yang pernah diserang angin ahmar pada tahun 2017.

Mordyadi memaklumkan setakat ini Nilam Optik memiliki tiga cawangan yang terletak di Putra Square, Taman Tas dan Taman Impian dengan dibantu beberapa pekerja tetap.

Nilam Optik turut menawarkan baucer kepada pelanggan yang memerlukan mengikut terma dan syarat ditetapkan

Katanya, semua premis itu dibuka setiap hari dari jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang.

“Pihak kami juga mengadakan promosi bergerak di sekolah sekitar Kuantan dan Kelantan.

“Promosi bergerak ini dilakukan mengikut permintaan atau undangan daripada pihak sekolah,” katanya lagi.

Dia berharap usaha dilakukan pasukan Nilam Optik ketika ini dapat mengembalikan semula kegemilangan jenama itu seperti pada awal penubuhannya dulu.- nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Manfaat Maal Hijrah dengan sifat mahabbah

Anak yatim tolak tawaran IPTA akibat tidak mampu