in

Pelajar kolej vokasional finalis anugerah global

Nurul Nazieha Jasnie berjaya disenarai pendek daripada sejumlah 3,851 pencalonan membabitkan 122 negara - Gambar oleh Kolej Vokasional Keningau

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Seorang pelajar jurusan bakeri dan pastri di Kolej Vokasional Keningau, Sabah, terpilih sebagai antara 50 finalis untuk anugerah Global Student Prize 2023.

Anugerah itu menawarkan hadiah wang tunai AS$100,000 (RM454,000) kepada juara.

Nurul Nazieha Jasnie berjaya disenarai pendek daripada sejumlah 3,851 pencalonan membabitkan 122 negara, dalam anugerah berprestij anjuran Varkey Foundation yang berpangkalan di United Kingdom (UK) itu.

Varkey Foundation dalam satu kenyataan berkata, Nurul Nazieha menubuhkan perniagaan Tiaa Cookies pada 2022 dan membantu golongan berpendapatan rendah di Sabah.

“Sejak dilancarkan, Nurul Nazieha sentiasa menambah baik strategi perniagaannya, termasuk menggunakan beg kertas mesra alam serta melaksanakan promosi dengan mesej positif pada minggu kesihatan mental pelajar.

“Dengan cara ini, dia mampu menanggung perbelanjaan diri, malah mengajak rakan-rakan sekelas untuk menjadi rakan perniagaan,” katanya, lapor BH.

Menurut kenyataan itu lagi, menerusi Tiaa Cookies, Nurul Nazieha berjaya melatih seramai 120 suri rumah daripada keluarga B40, dalam bidang pembuatan kek dan perniagaan.

Selain itu, gadis berkenaan turut terbabit dalam pelbagai program dan kempen bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung kepentingan pendidikan vokasional di Malaysia.- nasionalkini.my

Kenaikan harga barangan antara 1 hingga 3 peratus bulan depan

6 kejadian khianat kain rentang, bendera parti dipantau