JEMPOL, 18 Julai – Dua keluarga masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Raya di sini meluahkan rasa lega apabila tiga anak mereka kembali bersekolah selepas hampir lima bulan tertangguh akibat kekangan kewangan.
Ketiga-tiga mereka merupakan dua beradik Fazeri Jopri, 11, dan Norita Jopri, 9, bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Senibai, Kuala Pilah dan Majitah M Mazalan, 13, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Abdul Manap, Kuala Pilah bermula semalam.
Ibu kepada Majitah, Jira Mohamad berkata, dia mempunyai lapan orang anak berumur tujuh hingga 21 tahun, bagaimanapun anak kelimanya terpaksa menangguhkan persekolahan sejak Mac lepas.
“Setakat ini semua anak saya memang bersekolah kecuali anak keempat berusia 17 tahun yang memilih untuk bekerja. Kami hanya penoreh getah, harga getah pula ketika ini agak rendah, jadi pendapatan terjejas.
“Bimbang jugalah sebab dia sahaja tak sekolah.
“Kakak, abang dan adik-adiknya sekolah tetapi dia beralah sementara menunggu kewangan kami cukup,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.
Jira akui keluarganya serba kekurangan dalam pelbagai aspek namun masih mementingkan pendidikan anak-anak demi kebaikan masa hadapan.
“Kami utarakan masalah ini kepada ketua kampung, walaupun ambil sedikit masa untuk menguruskan hal ini, syukur ada pihak yang membantu menghulurkan bantuan.
“Segalanya telah selesai, sekolah anak pun memang ada asrama, jadi tidak perlulah bimbang dengan masalah pengangkutan pula,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada Fazeri dan Norita yang juga seorang penoreh getah, Jopri Sarip, 42, turut meluahkan perasaan sama.
“Anak saya ada empat, dua daripadanya sudah tamat sekolah, masing-masing berumur 20 dan 18 tahun, kini tinggal adik-adiknya sahaja bersekolah.
“Mereka (Fazeri dan Norita) sebelum ini belajar dan tinggal di asrama di sekolah yang sama,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada individu terlibat memberi sumbangan termasuk membeli kelengkapan sekolah anak-anaknya.- nasionalkini.my