in

2 beradik kembali ke sekolah lepas 3 minggu ‘ponteng’

Azleen bersama anaknya yang terpaksa ponteng kerana tidak mampu memberikan wang saku untuk perbelanjaan mereka di sekolah - Gambar oleh Sinar Harian

KOTA BHARU, 13 Julai – Dua beradik dari Kampung Berhala Lima Limbat, di sini, yang terpaksa ponteng sekolah selama tiga minggu kerana kesempitan wang kembali menjalani sesi pembelajaran masing-masing semalam.

Ibu mereka, Azleen Ahmad Azmi, 44, berkata, kedua-dua anaknya, Nurul Adawiyah Wahyu Azizi, 12, murid Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan Long Gafar dan Nur Batrisha Hidayah, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Saadong memang berhasrat untuk meneruskan persekolahan dan tidak pernah berniat untuk berhenti.

Kata Azleen, bagaimanapun keadaannya dan suami, Aziz Mohd Nor, 49, yang terdesak dan tidak cukup wang untuk menyara kehidupan keluarga menyebabkan anak-anak tidak dapat ke sekolah dalam tempoh berkenaan.

“Anak-anak saya minat belajar, sebelum ini tidak pernah berhenti sekolah.

“Cuma, tiga minggu kebelakangan ini sahaja tidak pergi sekolah kerana tiada wang saku untuk belanja makan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata wanita itu, keadaan anaknya itu mendapat perhatian ramai termasuk pihak sekolah dan pemimpin setempat.

Menurutnya, Aziz berpendapatan tidak tetap sekitar RM50 setiap kali mengambil upah sebagai tukang cat rumah sementara dirinya pula bekerja sebagai tukang cuci berpendapatan tidak tetap kira-kira RM60 setiap kali dipanggil bekerja.

“Sebelum ini, guru-guru ada bertanya khabar dan penghulu kampung pun memang selalu hantar makanan kepada kesemua tujuh anak kami.

“Saya sangat hargai bantuan semua dan ucapkan terima kasih kerana prihatin terhadap keadaan kami,” ujarnya.- nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Wanita dipercayai cuba tikam anak OKU ditemui mati

Rakyat Malaysia ‘hilang’ di India selamat