Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 29 Mei – Kira-kira 100 buruh warga asing tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kongsi mereka berdekatan Taman Bertam Impian, di sini, terbakar petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Penguasa Bomba Kanan II Mohamed Azuani Mat Yusuf berkata, seramai 14 anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.14 petang.
“Kawasan itu sudah 95 peratus terbakar ketika kami tiba di lokasi kejadian
“Antara cabaran operasi ini adalah apabila anggota dari BBP Tangga Batu, Cheng dan Ayer Keroh terpaksa berulang alik sejauh satu kilometer untuk mendapatkan sumber air,” katanya.
Tambahnya, bantuan anggota bersama-sama tiga jentera bagaimanapun berjaya mengawal api sepenuhnya pada pukul 7.31 malam.
Difahamkan rumah kongsi itu didiami buruh asing warga Indonesia dan Bangladesh.
Sementara itu, seorang mangsa warga Indonesia, Herman, 46, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, insiden malang itu berlaku kira-kira pukul 6.10 petang ketika semua pekerja sedang bekerja di tapak bina itu.
“Sebelum kejadian, saya ada terdengar bunyi kuat letupan diikuti dengan api yang merebak begitu cepat menyebabkan semua pekerja tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk wang simpanan di dalam rumah.
“Saya dan pekerja lain cuba juga menyelamatkan harta benda termasuk pasport dan wang tunai tapi tak sempat menyebabkan semua duit simpanan saya bersama isteri yang bekerja tukang masak di sini berjumlah lebih RM5,000 hangus,” katanya.
Menurutnya, simpanan itu adalah hasil gaji yang dikumpul lebih dua bulan dan sepatutnya dihantar ke Madura, Indonesia untuk perbelanjaan anak di kampung.-nasionalkini.my