Oleh : Adnan Mohamad
SETIU, 9 Mei – Seekor gajah jantan liar yang sering mengganas serta merosakkan kelapa sawit di Kampung Seri Batas, Hulu Seladang, di sini, berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Terengganu, pagi semalam.
Dalam operasi yang dilancarkan bersama tujuh anggotanya, Perhilitan berjaya menangkap gajah berumur 15 tahun dan seberat 1.5 tan semasa haiwan itu merayau-rayau di kawasan kebun terbabit.
Pengarah Perhilitan Negeri Terengganu, Loo Kean Seong berkata, operasi yang dilakukan semalam selepas pihaknya menerima aduan daripada pekebun berkenaan tentang kerosakan kelapa sawit mereka akibat dimusnak haiwan itu.
“Kita terus memantau kerana pekebun di situ mendakwa ada beberapa ekor lagi gajah liar di hutan berdekatan sering datang merosakkan tanaman mereka. Gajah yang ditangkap semalam akan dihantar ke Taman Negara pada hari esok,” katanya di sini hari ini.
Sebelum itu, pada 6 Mei lalu, nasional kini.my melapor bahawa pekebun kelapa sawit di kawasan itu mengalami kerugian hampir RM100,000 setelah tanaman mereka dimusnahkan oleh sekumpulan gajah liar sejak dua bulan lalu.
Pekebun berkenaan bukan sahaja mengalami kerugian malah mereka terpaksa berjaga setiap malam untuk menghalau haiwan itu yang sering datang ke kebun mereka. – nasional kini.my