KUANTAN, 9 Mei : Kerajaan Pahang telah menerima dan meluluskan sebanyak RM11.01 bilion pelaburan asing pada lalu berbanding RM10.5 bilion pada 2021.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, ia melibatkan sektor pembuatan, perkhidmatan, penternakan serta sektor pelancongan.
“Berdasarkan pecahan tersebut, antara sektor yang terlibat bagi tahun 2021 adalah sektor perkhidmatan dan sektor permbuatan. Pelaburan-pelaburan tersebut tertumpu di Bentong seta Gebeng.
“Bagi tahun 2022, sektor pembuatan, sektor perkhidmatan, sektor penternakan serta sektor pelancongan yang menyumbang kepada pelaburan Negeri Pahang ini tertumpu di Pekan, Kuantan, serta Rompin,” katanya ketika Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga membuka peluang perbincangan kerjasama melalui lawatan hormat dari Kedutaan Asing di Malaysia bagi menarik lebih ramai pelabur antarabangsa ke Negeri Pahang.
“Perbincangan antara Kerajaan Negeri dan pihak Kedutaan dapat membuka peluang kerjasama dua hala mengikut kepakaran dan peluang yang dapat diterokai dari negara tersebut. – nasionalkini.my