in

Jambatan Bagan Datuk kebanggaan baharu rakyat Perak, jimat masa sehingga 45 minit

bagan jambatan
Tidak terlintas di fikiran warga Bagan Datuk bahawa suatu hari akan wujud jambatan merentasi Sungai Perak, menghubungkan pekan kecil Bagan Datuk dengan Sejagop di Perak Tengah. 

Oleh Ahmad Abd Hamid

KALI pertama merentasi Jambatan Bagan Datuk baru-baru ini, beberapa hari selepas pembukaan rasmi pada 31 Mei lalu, hati terasa bangga dan teruja. Sebagai warga Bagan Datuk, penulis kagum dengan pembinaan jambatan tersebut yang dianggap ikon baharu bagi Bagan Datuk.

Tidak terlintas di fikiran warga Bagan Datuk bahawa suatu hari akan wujud jambatan merentasi Sungai Perak, menghubungkan pekan kecil Bagan Datuk dengan Sejagop di Perak Tengah. 

Pembinaan mampu menjimatkan masa dan jarak perjalanan antara pekan di tebing Sungai Perak itu dengan Perak Tengah dan seterusnya utara tanah air melalui jalan pesisiran pantai barat. Penjimatan masa antara 45 hingga sejam berbanding menggunakan laluan biasa sebelum ini.

WhatsApp Image 2023 06 15 at 8.01.20 PM 1
Pembinaan mampu menjimatkan masa dan jarak perjalanan antara pekan di tebing Sungai Perak itu dengan Perak Tengah

Keluar dari jambatan di Sejagop bersambung pula dengan jalan ke Sitiawan dan Manjung. Seterusnya memasuki Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) sehingga ke Bruas sebelum keluar melalui jalan persekutuan sehingga ke Changkat Jering, Taiping, Perak.

Lebuh Raya Pantai Barat menghubungkan Banting di Selangor dengan Changkat Jering sebagai alternatif kepada Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Beberapa bahagian WCE sudah digunakan sementara beberapa bahagian lain belum siap sepenuhnya.

Ini termasuk laluan dari Bruas ke Changkat Jering. Untuk sementara ini dari Bruas mengunakan jalan lama. Apabila sampai ke Changkat Jering, bersambung pula dengan lebuh raya PLUS bagi meneruskan perjalanan ke utara.

Jambatan Bagan Datuk menjimatkan masa dan jarak perjalanan dari pekan tersebut kerana boleh terus memasuki jalan ke Sitiawan dari Sejagop, tidak perlu lagi memandu naik ke Simpang Empat, Hutan Melintang.

Sebelum ini itulah laluan biasa, seterusnya memasuki jalan persekutuan arah ke Teluk Intan sebelum membelok ke jalan Sitiawan, beberapa kilometer dari Simpang Empat. Ini juga laluan bagi pengguna dari Selangor seperti Kuala Selangor, Tanjung Karang dan Sabak Bernam yang hendak ke utara melalui jalan pantai barat.

Mereka dari utara ke selatan yang ingin mencuba jambatan baharu serta melawat Bagan Datuk, boleh masuk dari Sejagop ke pekan tersebut. Dari situ pandu sehingga ke Simpang Empat menuju arah Sabak Bernam untuk meneruskan perjalanan balik. 

Kehadiran jambatan ini dijangka mampu menceriakan pekan Bagan Datuk yang sunyi. Kedudukannya di hujung perjalanan atau ‘jalan mati’ menyebabkan ia tidak semeriah pekan Simpang Empat yang menjadi laluan utama ke utara atau selatan.

Namun kini dengan adanya jambatan, kenderaan yang hendak ke utara atau sebaliknya boleh singgah ke Bagan Datuk, bersantai di Dataran Bagan Datuk atau melawat masjid terapung, Masjid Tuminah, sebelum meneruskan perjalanan.

Malah, pada hari pembukaan dan hari-hari selepasnya, Bagan Datuk sesak dengan kenderaan yang ingin melawat pekan tersebut sambil mencuba jambatan baharu. Diharap trend ini berterusan.  – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 06 15 at 8.09.00 PM

Pengikut ajaran sesat ‘Si Hulk’ di Melaka ditahan, 20 lagi diburu

WhatsApp Image 2023 06 15 at 9.26.15 PM

Memahami belenggu dialami peminat Calcio