in

OKU bukan penghalang peroleh 8A dalam SPM

bff15fc9 554e 4448 b243 7bd32c183b02
Nur Farrisha Hashim bersama ibunya, Wan Siah Yusoff dan bapanya, Hashim Ishak, 70, pada majlis pengumuman keputusan SPM di SMK Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Gambar Utusan Malaysia

BUTTERWORTH, 6 Jun – Kecacatan fizikal yang dialami sejak lahir tidak menjadi penghalang buat Nur Farrisha Hashim, 18, untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan hari ini.

Utusan Malaysia melaporkan, calon istimewa cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Mandin dekat sini itu sebaliknya membuktikan mampu berjaya dalam pelajaran apabila memperoleh 2A+, 3A dan 3A-.

Katanya, pergerakannya yang terhad susulan terpaksa menggunakan kerusi roda sepanjang masa tidak mematahkan semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Selalunya setiap kali balik dari sekolah, saya akan menyiapkan kerja sekolah sambil mengulangkaji pelajaran sekali gus.

“Selain itu, saya mengikuti setiap kelas tambahan yang dijadualkan, malah kawan-kawan juga akan berkongsi nota sekiranya saya tidak hadir kerana perlu ke hospital untuk rawatan susulan.

“Kalau diikutkan, saya jangkakan mungkin hanya akan memperolehi 3A, namun peraturan Allah SWT lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, bapanya, Hashim Ishak,70, bekerja sebagai pekerja pembersihan manakala ibunya, Wan Siah Yusoff, 65, merupakan pengawal keselamatan di sebuah sekolah.

“Saya amat bersyukur kerana ibu dan bapa banyak berkorban untuk memastikan saya dapat belajar dengan selesa dan keputusan cemerlang ini adalah hadiah buat mereka.

“Tidak terkira pengorbanan yang mereka lakukan demi saya termasuklah menghantar saya ke sekolah setiap hari dan kadang-kala ibu akan hantar bekal ketika saya ada kelas tambahan. Selepas ini, saya berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang seni atau animasi,” katanya. – nasionalkini.my

IMG 20230608 WA0004

Harga minyak masak paket kekal

scam phone1 1665551071

Hasrat miliki kereta tidak kesampaian, ditipu penjual tidak wujud