JOHOR BAHRU, 16 Mei – Untuk menjaga kanak-kanak sememangnya memerlukan kesabaran , apatah lagi keletah dan ragam mereka memerlukan seseorang invidu yang menjaga mereka memerlukan sifat kasih sayang mendalam.
Terbaharu, penyebaran video berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi dipercayai pengasuh sebuah taska swasta di Mutiara Rini, Skudai, Johor menimbulkan kegusaran orang awam.
Kanak-kanak malang itu kelihatan menangis selepas wanita terbabit menepuk kepalanya selain meniup muka bayi berkenaan sehingga mengalami kesukaran untuk bernafas.
Bagaimanapun, sepandai-pandai tupat akhirnya ke tanah juga, wanita berkenaan yang berusia 21 tahun kini dipercayai ditahan polis untuk membantu siasatan kes itu.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata wanita berkenaan ditahan 2 pagi tadi di Selesa Jaya, Skudai, oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Iskandar Puteri.
“Hasil siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku di sebuah taska di Mutiara Rini, melibatkan seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan,” katanya.
Datuk Kamarul Zaman juga berkata taska beroperasi secara tidak sah dan permohonan reman ke atas wanita itu akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru hari ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Meninjau ruangan komen rata-rata orang ramai menunjukan rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap tindakan wanita itu yang disifatkan tidak berperikemanusian.
Malah mengharapkan wanita berkenaan dikenakan tindakan sewajarnya kerana menganiaya kanak-kanak tersebut. – nasionalkini.my.