CAMERON HIGHLANDS, 8 Julai – Kira-kira sebulan lalu, isu penjualan saham MAHB kepada BlackRock masih belum dijawab dengan teliti dan mudah difahami oleh rakyat Malaysia.
Penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat minggu lalu terkait dengan isu ini juga belum mampu meredakan kebimbangan ahli politik, terutamanya dari blok pembangkang.
Dan ketika penerimaan rakyat terhadap MAHB-BlackRock belum selesai, kerajaan Perpaduan mengambil langkah kurang popular apabila memperkenalkan langkah subsidi diesel bersasar.

Kedua isu ini akhirnya menyaksikan calon mewakili Kerajaan Perpaduan tewas dengan majoriti lebih besar dalam PRK Sungai Bakap.
Bagi Naib Presiden Persatuan Rangkaian Muslim Inovasi Malaysia, Dr Abdul Rasid Md Ali, isu BlackRock dan subsidi diesel bersasar gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan sepanjang kempen PRK Sungai Bakap.
“Persoalan demi persoalan timbul dalam kalangan rakyat dan jentera penerangan ditugaskan Kerajaan Madani tidak berupaya memberi pemahaman kepada pengundi di Sungai Bakap.
“Semua berkait dengan isu diesel yang membawa kepada kenaikan harga pelbagai barangan adalah kesan berganda akibat tindakan kurang popular itu.
“Rakyat dan ahli politik hanya mahukan jaminan bahawa MAHB tidak senasib dengan PROTON yang kini dimiliki secara bersama oleh Geely dari China,” katanya.
Dr Abdul Rasid juga meminta pihak kerajaan menjelaskan jumlah sebenar pegangan saham Geely dalam PROTON ketika ini.

Katanya, terdapat khabar angin mengatakan bahawa pihak Geely sudah memiliki lebih 49 peratus saham PROTON, seperti pada awal perjanjian pada tahun 2017.
“Jadi perkara ini perlu dijelaskan oleh kerajaan supaya tidak timbul pertanyaan atau persoalan dalam kalangan rakyat,” jelasnya.
Dia juga berharap proses penjualan saham MAHB dipantau supaya BlackRock tidak menjadi pemegang saham paling besar dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.
“Sekarang kerajaan cakap pegangan saham 70-30… lepas ini kita tak pasti sejauh mana pegangan itu boleh berubah.
“Paling kita bimbang jika akhirnya BlackRock menjadi pemegang saham utama GLC itu yang membawa kesan kepada keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Selain itu, Dr Abdul Rasid mencadangkan supaya saham MAHB dijual kepada konglomerat tempatan atau syarikat mega milik rakyat Malaysia.

Ini kerana MAHB adalah simbol kedaulatan negara dan perlu dipertahankan daripada dimiliki entiti luar.
“Sebelum ini saya sudah mencadangkan agar satu tabung khas diwujudkan bagi tujuan mempertahankan aset yang mempunyai kepentingan kepada negara.
“Sebaiknya tabung itu membabitkan semua keupayaan kewangan dari pusat kutipan zakat, majlis agama islam dan lain-lain organisasi dikumpulkan bersama bagi tujuan menyelamatkan aset strategik negara daripada terlepas kepada negara luar.
“Hasil kutipan zakat – selepas dibahagikan kepada lapan kumpulan asnaf yang layak – boleh dikumpulkan dalam tabung khas itu demi mempertahankan kedaulatan negara,” katanya. – nasionalkini.my