Yusuf Shafie
MELAKA, 6 Jun – Padah mencederakan isteri dan mengugut bunuh kerana menolaknya untuk mengadakan hubungan seks, seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tertuduh, Syed Fakrulrazi Syed Abdul Rahman, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap isterinya, Rabiatul Adawiyah Abu Hassan, 33, dengan cara menghantukkan kepalanya ke hidung mangsa.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 pagi 12 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak Perdana, di sini.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada waktu, tarikh dan tempat yang sama didakwa telah menakutkan mangsa sama secara jenayah dengan kata-kata ugutan akan membunuhnya yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas tertuduh tidak berpuas hati apabila isterinya itu menolak ajakannya untuk mengadakan hubungan seks.
Hakim Darmafikri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dikemukakan dan menetapkan kes disebut 10 Julai depan. – nasionalkini.my