Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 6 Jun – Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini.
Hukuman itu diputuskan majistret selepas tertuduh mengaku bersalah masuk ke negara ini secara haram dan membuat laporan polis palsu kononnya disamun bulan lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh dikenali Mohamad Sufian, 52, yang membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai seorang bukan warganegara Malaysia telah masuk dan berada di negara ini tanpa sebarang pas yang sah di Jalan Kota, dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira pukul 3 petang 20 Mei lalu.
Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati membuat laporan palsu kepada Koperal Aidawaty Hussin menyebabkan Inspektor Muhammad Haziq Fathe’li sebagai penjawat awam menggunakan kuasa yang sah di sisi undang-undang hingga menyebabkan kegusaran kepada orang lain.
Kesalahan dilakukan pada pukul 11.39 pagi hari sama di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Tanjung Minyak dalam daerah Melaka Tengah.
Sabit kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes pengadu, Inspektor Muhammad Haziq menjalankan satu laporan polis dibuat tertuduh berkaitan dakwaan tertuduh disamun dua lelaki tidak dikenali.
Hasil siasatan bagaimanapun mendapati, laporan berkenaan palsu dan semakan cap jari dan biometrik tertuduh di Jabatan Imigresen mendapati, lelaki itu tidak mempunyai dokumen diri.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana hanya bekerja kilang selain mempunyai dua anak dan isteri di Bangladesh.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Sharda menjatuhkan hukuman tujuh bulan penjara bagi kesalahan di bawah Akta Imigresen dan satu bulan penjara kerana membuat laporan palsu yang berjalan serentak dari tarikh ditangkap 20 Mei lalu. – nasionalkini.my