Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 31 Mei – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Asyraf Majid, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan hubungan seks dengan seorang perempuan berusia 18 tahun pada 5 September 2020 tanpa kerelaannya kira-kira pukul 10.30 malam di sebuah rumah di sini.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun sehingga 30 tahun dan sebat mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan
Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin terdahulu memohon tertuduh tidak dibenarkan jaminan, namun mencadangkan RM20,000 dengan seorang penjamin sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.
Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dibenarkan dengan alasan tertuduh menanggung isteri serta seorang anak berusia setahun.
Selepas mendengar hujahan kedua belah, tertuduh dibenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Julai ini sebagai sebutan semula kes. – nasionalkini.my