Oleh: Mohammad Ishak
KUALA TERENGGANU,25 Julai – Majlis penyerahan watikah calon Barisan Nasional (BN) Terengganu yang sepatutnya berlangsung hari ini terpaksa ditangguhkan kepada tarikh lain.
Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said berkata, hal demikian berlaku berikutan ada pihak tidak pasti untuk bertanding dan keadaan itu memaksa rombakan dan pertukaran calon dilakukan.
“Sepatutnya hari ini kita bagi watikah kepada calon tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana ada beberapa isu perlu diselesaikan.
“Susulan itu semua 27 calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu yang diumumkan pada Jumaat lalu masih belum disahkan bertanding. katanya .
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran manifesto BN di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri di sini, hari ini.
Bagaimanapun Ahmad memberi jaminan BN Terengganu akan menampilkan lebih ramai calon muda dan berkelayakan dalam PRN 12 Ogos ini.
Katanya, pemilihan calon yang mempunyai latar belakang cemerlang dari segi pendidikan dan pengalaman antara kelebihan yang akan ditampilkan bagi menarik undi rakyat Terengganu. – nasionalkini.my