TEMERLOH, 29 Julai – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, bertitah pemeliharaan habitat hidupan liar perlu diperkasakan bagi mengelakkan spesies haiwan itu pupus.
Justeru, baginda bertitah usaha bersepadu membabitkan semua pihak perlu diwujudkan bagi memelihara hidupan liar termasuk Harimau Malaya.
“Usaha dari semua pihak termasuk dari pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan perlu diwujudkan segera bagi memelihara ikon negara ini dan juga semua hidupan liar lain agar tidak terus pupus…dan usaha ini perlu diteruskan dan menjadi keutamaan,” titah baginda, lapor Bernama.
Seri Paduka bertitah demikian ketika Majlis Pemasyuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan penamaan semula Rizab Hidupan Liar Krau, sebagai Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pusat Biodiversiti Lanchang di sini, hari ini.
Turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Johari Harun serta Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman.
Baginda turut menyambut baik langkah kerajaan negeri yang mewartakan kawasan seluas 134,183 hektar tanah rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah secara berperingkat dan menzahirkan penghargaan atas usaha anakanda Tengku Hassanal yang berjuang mempertahankan Harimau Malaya dan alam sekitar.
“Saya akan lancar rizab yang besar atas nama saya dan anakanda, sepanjang saya jadi Tengku Mahkota 45 tahun tak ada usaha nak rizabkan satu kawasan besar atas nama Sultan atau Tengku Mahkota, ini adalah satu anjakan paradigma yang positif.
“Saya harap kawasan-kawasan diwartakan akan diselenggara sebaik mungkin, kita akan jadikan ini satu contoh pada dunia bagaimana kita pelihara alam sekitar, spesies Harimau Malaya dan hidupan lain,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan harapan supaya kerajaan negeri akan menilai dan mengambil kira aspek alam sekitar sebelum meluluskan sebarang projek selain meningkatkan pendekatan pembangunan mampan.
Al-Sultan Abdullah turut mengimbau kenangan ketika berkesempatan membela dua ekor anak harimau dan anak gajah yang dikurniakan kepada baginda puluhan tahun yang lalu.
“Ini antara pengalaman saya iaitu bagi mandi dan bawa anak harimau dalam kereta… apabila besar penjaga pun harimau nak makan… jadi saya minta PERHILITAN ambil,” titah baginda.- nasionalkini.my