KUALA LUMPUR, 9 Jun – Sebanyak 1,080 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di negara ini dikesan tidak berdaftar setakat penghujung Disember tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah ini amat membimbangkan kerana membabitkan aspek keselamatan kanak-kanak yang dihantar di premis berkenaan.
Setakat ini, sebanyak 3,005 taska yang berdaftar di seluruh negara dan kita turut mengesan kewujudan 1,080 taska yang belum berdaftar.
“Angka 1,080 itu yang hanya kita tahu, tetapi jumlahnya kemungkinan lebih besar daripada itu. Sebab itu ia sangat membimbangkan,” katanya.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan akan membawa isu pendaftaran TASKA kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan selepas mendapati ada pihak yang mengendalikan tidak mahu berdaftar secara sah.
Namun, disebabkan perlu berdepan pelbagai karenah birokrasi membabitkan isu teknikal dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyebabkan mereka membatalkan hasrat tersebut.
“Saya akan cuba usulkan isu ini kepada rakan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan untuk menyelesaikan pengusaha taska beroperasi secara sah.
“Kita faham dengan syarat yang ditetapkan PBT, namun adalah tidak adil untuk menyalahkan PBT kerana syarat yang diletakkan adalah untuk menjamin keselamatan penghuni taska berkenaan,” katanya. -nasionalkini.my