KAHERAH, 9 Jun – Keterujaan seorang lelaki Rusia bersama teman wanita dan bapanya untuk bercuti bersama di pusat peranginan Laut Merah Mesir di Hurghada bertukar menjadi tragedi menyedihkan apabila pemuda berkenaan maut diserang seekor jerung.
Memetik dailymail.co.uk, tragedi pilu turut disaksikan sendiri bapa pemuda berkenaan yang berada di lokasi kejadian namun panik dan buntu untuk membantu.
Malah, terpaksa merelakan anak lelakinya yang berusia 23 tahun dibaham jerung.
Ketika kejadian mangsa, yang dikenali Vladimir Popov, menjerit memanggil bapanya untuk membantunya selepas ditarik oleh jerung.
Teman wanitanya cuba membantunya tetapi gagal.
Sementara itu, bapanya Yury Popov pula berkata, kejadian itu berlaku dengan pantas sekelip mata dan tidak menyangka percutian ke Rusia menyebabkan dia kehilangan anak kesayangan.
“Saya tidak berdaya untuk membantu kerana menggigil menyaksikan jerung besar berada di hadapan saya bersama anak lelaki.
“Namun hanya mampu melihat dengan mata sendiri ketika jerung itu menarik dia ke dasar laut sebelum membahamnya,” katanya.
Malah, orang ramai yang berada di sekitar pantai takut untuk membantu sebelum bertindak mendapat bantuan daripada pengawal pantai.
Popov yang merupakan penduduk Rusia itu dikatakan berhijrah ke Kaherah bagi mengelak menjadi kerahan untuk pertempuran Ukraine-Rusia.
Dia yang bersama teman wanita dan bapa menginap di pantai peranginan berkenaan sejak beberapa bulan lalu. – nasionalkini.my