in

Apa kesudahan ‘Mencari Ramli’ lepas lebih 10 tahun?

Muhammad Amirul Asyraf (tengah) antara peserta program 'Mencari Ramli' musim kedua dan layak ke pusingan akhir program pencarian bakat dalam sukan bola sepak anjuran TM dan FAM

SUKAN bola sepak kekal menjadi sukan nombor satu negara sejak dulu lagi.

Sehingga hari ini, sukan itu jugalah paling ramai menarik penonton ke stadium, selepas badminton.

Namun, program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dilakukan samaada oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) atau persatuan bola sepak peringkat negeri, masih dilihat kurang berjaya.

Kalau ada pun yang berjaya, itu didorong oleh kemahuan dan kemampuan (kewangan) persatuan itu sendiri.

Dan kira-kira 10 tahun lalu (atau mungkin lebih dari tempoh itu), negara pernah dihidangkan dengan satu program mencari bakat baharu dalam sukan nombor satu Malaysia itu.

Inisiatif melalui kerjasama antara Telekom Malaysia (TM) dan FAM pada awalnya menjanjikan sinar baharu dalam pencarian bakat luar biasa dalam kalangan anak muda berusia dari 13 hingga 16 tahun.

Maka melalui ‘Mencari Ramli’ itulah, tidak sikit bakat baharu berjaya ditemui.

Walaupun musim pertama program itu hanya berkisar di Sukan Sukan Bukit Jalil, namun peluang kemudiannya dibuka kepada anak remaja di seluruh negara pada musim kedua dan seterusnya.

Maka ketika musim kedua ‘Mencari Ramli’ juga menjadi saksi bahawa negara tidak kekurangan bakat dalam bola sepak.

Namun, selepas lebih 10 tahun berlalu, program sebagus itu yang tidak disambung, mengembalikan semula beban mencungkil bakat baharu kepada persatuan bola sepak negeri masing-masing.

IMG 20230520 141104 6 x 4 inch

Seorang bekas peserta program itu, Muhammad Amirul Asyraf Mohamad, 25 tahun mengakui ‘Mencari Ramli’ bukan sahaja mematangkan lagi dirinya, tapi turut meninggalkan pelbagai kenangan sukar dilupakan.

“Perasaan saya bercampur baur apabila ditanya mengenai program itu, terlalu banyak kenangan ada antaranya masih saya simpan hingga hari ini,” katanya yang kini mengusahakan akademi futsal sendiri.

Dia berkata, proses pemilihan untuk melayakkan peserta ke peringkat seterusnya dalam program itu sangat ketat dan mencabar emosinya.

”Saya menyertai program itu dalam keadaan serba kekurangan, berbekalkan kasut bola murah dan memakai stoking sekolah, tapi semangat yang ada mengatasi segala kekurangan yang saya miliki ketika itu,” katanya.

Muhammad Amirul Asyraf dan kembarnya, Muhammad Amirul Azhar, keduanya berusia 14 tahun ketika musim kedua ‘Mencari Ramli’ terpaksa ‘mengikat perut’ sepanjang tiga hari pemilihan pemain dijalankan di Padang Kompleks Belia dan Sukan Pahang, Jalan Tun Ismail.

“Kami pergi (mengambil bahagian) program itu tanpa pengetahuan ibu bapa, jadi memang tidak ada bekal duit saku atau makanan.

“Ketika waktu rehat, kami berdua selalunya menghabiskan masa dengan tidur di surau kerana memang tidak ada duit untuk keluar makan seperti peserta lain.

“Duit yang kami bawa pun cuma cukup untuk tambang bas pergi-balik sahaja, kalau terlepas bas atau bas terlewat dari jadual (perjalanan) kami kena naik teksi dan tambang teksi pun bukannya murah,” katanya lagi.

IMG 20230525 002919 6 x 4 inch
Asyraf dan Azhar bersama sebahagian peserta program ‘Mencari Ramli’ musim kedua di Kuantan, Pahang pada tahun 2013

Dia bagaimanapun memberitahu ibu bapanya mengetahui mereka berdua mengambil bahagian dalam program itu pada hari ketiga, selepas jurulatih memaklumkan dia dan Muhammad Amirul Azhar layak ke pusingan pemilihan seterusnya.

“Dia (jurulatih) cakap kena maklumkan kepada ibu atau bapa dan dia minta nombor telefon mereka, dari situlah ibu dan bapa kami tahu,” katanya.

Muhammad Amirul Asyraf turut berterima kasih kepada kakaknya yang banyak membantu selepas mereka layak ke pusingan seterusnya dalam program realiti itu.

“Lagipun dia (kakak) sudah bekerja ketika itu, jadi dialah yang belikan kasut bola untuk kami.

“Memang kami bukan orang senang, nak beli kasut pun berkira-kira dan ketika itu harga kasut bola memang mahal, tak mampu nak beli yang original.

“Tapi kakak usahakan juga dan akhirnya dapatlah kasut bola, walaupun bukan original, tapi nampak sama macam original,” katanya.

Dia turut mengimbas kenangan ketika berada di kem latihan bersama pemain dari seluruh negara dan pasukan Frenz United yang turut dibarisi pemain remaja dari Indonesia.

“Perjalanan kami berdua tidak mudah seperti remaja sekarang, dulu banyak benda kami kena cari sendiri (maklumat) kalau berkaitan bola sepak.

“Sekarang ini, mana-mana tempat pun ada kelab bola sepak dari umur enam tahun dah boleh belajar pasal bola sepak.

“Nak bergerak ke sana sini pun mudah, ada Grab, motosikal sendiri, cuma bab disiplin sajalah kena jaga, zaman tak sama jadi kita boleh lihatlah perbezaan pemain bola sepak zaman dahulu dengan sekarang,” katanya.

Muhammad Amirul Asyraf turut menasihatkan remaja untuk merebut peluang yang ada jika betul-betul minat dalam sukan bola sepak.

Katanya, ruang untuk menjadi pemain profesional makin banyak dan terpulang kepada mereka untuk menentukan hala tuju masing-masing dalam sukan ini.

“Kalau bertuah, bolehlah naik kapal terbang, bermain dengan kelab di luar negara.

“Saya dah cuba (naik kapal terbang) sekali, itu pun ketika zaman ‘Mencari Ramli’ tapi dah rasa bangga, apatah lagi bila sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, ada orang pegang ‘plycard’ tunggu (sambut), rasa macam ‘star’ masa itu,” katanya.

Jadi, sudahkah kita menemui ‘Ramli’ yang dicari sejak 2012 itu? – nasionalkini.my

wong parlimen

RUU dana politik perlu dibentang segera

Zii Jia penyelamat maruah Malaysia