KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kerajaan digesa mempercepatkan pembentangan rang undang-undang (RUU) berkaitan pendanaan politik selewat-lewatnya Mac, depan.
Kumpulan Rentas Parti Politik Parlimen Malaysia (KRPPM) berkata, sebelum membentang RUU itu, adalah wajar sekiranya kerajaan menjalankan sesi libat urus terlebih dahulu bersamanya.
Pengerusinya, Wong Chen berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk mengadakan pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara ini.
“Kami akan menghantar draf merangkumi beberapa cadangan untuk dipertimbang sebelum RUU itu dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk diluluskan, kemudian dibentang di Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau menambah, antara cadangan yang akan diusul kepada kerajaan ialah memasukkan elemen pendanaan politik daripada kerajaan.
Hal ini berikutan draf yang dirangka sebelum ini tidak mempunyai elemen tersebut dan keperluan pendanaan politik daripada kerajaan amat penting untuk negara demokrasi.
“Draf yang dibuat sebelum ini tidak mempunyai elemen pendanaan politik daripada kerajaan. Kalau kita benar-benar mahu lawan rasuah di peringkat parti-parti politik, adalah lebih baik kita wujudkan pendanaan politik dari kerajaan.
“Pembiayaan awam untuk parti politik boleh membantu menampung kos operasi parti politik dan membentuk sistem politik lebih saksama,” katanya.
Beliau pada masa sama turut mencadang penubuhan Suruhanjaya Pendanaan Politik sebagai badan pemantau bebas bagi mengawal selia proses pengisytiharan dana oleh parti-parti politik. -nasionalkini.my