KUANTAN, 23 Mac – Proses pembinaan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) terus menunjukkan kemajuan membanggakan.
Semalam, pembinaan landasan itu sudah mula memasuki kawasan Kota SAS, sebulan lebih awal daripada jangkaan.
Perkembangan itu dikongsi Ketua Cabang PKR Indera Mahkota, Zuraidi Ismail melalui laman sosial Facebook miliknya.
“Hari ini (semalam) satu peristiwa penting yang mengukir sejarah.
“Buat pertama kalinya, landasan keretapi memasuki Kota SAS.
“Tidak pernah termimpi untuk merasakan realiti dan kegembiraan ini.
“Berlaku sebulan lebih awal daripada jadual,” katanya.
Dia turut berkata, tanpa kesungguhan, disiplin dan tanpa teknologi canggih, sudah tentu perkara itu sukar untuk menjadi kenyataan.
Katanya, pencapaian berkenaan memberi lonjakan semangat kepada semua yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan projek itu siap mengikut jadual.
Kelmarin, pihak Malaysia Rail Link (MRL) dalam satu kenyataan media memaklumkan kerja pemasangan landasan ECRL bagi fasa pertama dari Kuantan Port City, Pahang ke Dungun, Terengganu sejauh 92 kilometer (km) bagi jajaran utama siap sebulan lebih awal daripada dijadualkan.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata mesin pemasangan trek model ‘CCPG-500A’ yang canggih serta julung kali diguna pakai dalam industri rel di Malaysia secara purata memasang landasan sepanjang 1.5 km hingga dua km sehari.— nasionalkini.my