in

Nik Abduh kekal bersama PAS

IMG 20230522 074607 6 x 4 inch
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

KOTA BHARU, 22 Mei – Bekas Ahli Parlimen PAS Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memberi bayangan akan terus kekal bersama parti itu walaupun pelbagai desas desus mengaitkan dirinya bakal menyertai parti lain.

Menerusi hantaran di Facebook beliau berkata, jalannya adalah jalan ayahnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga bekas Mursyidul Am PAS dan bekas Menteri Kelantan.

“Ramai juga mohon penjelasan saya. Saya mohon kemaafan dulu. Begini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Almarhum ayahanda adalah kawan. Menyambung persahabatan dengan kawan ayah kita adalah sunnah Rasulullah, termasuklah dengan keluarga dan rakan-rakan mereka,” katanya.

Beliau berkata, antara dua insan besar, iaitu Anwar dan Allahyarham ayahnya, terdapat persamaan dalam perjuangan politik mereka.

“Ada juga perbezaan. Perbezaan lebih besar, itu sebab mereka berbeza parti politik. Mereka pernah berselisih, tetapi persamaan yang ada mampu untuk tidak memanjangkan perselisihan itu.

“Begitulah saya, perbezaan kekal, persamaan mendekatkan. Jalan saya adalah jalan ayahanda saya dan Islam adalah penyelesaian. Itulah universiti politik Kelantan. Ada pun desas desus itu dan ini, itu debu. Jaga mata anda. Tak sakit pun, kabur jadinya,” katanya lagi, lapor BH.

Media pada 13 Mei lalu menyiarkan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nik Mohamad Abduh ketika lawatan Perdana Menteri ke Kelantan. Pertemuan itu turut dihadiri abang Nik Mohamad Abduh, Nik Omar dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Dr Azizah Wan Ismail.

Susulan pertemuan itu, ada yang mengaitkan Nik Mohamad Abduh mahu berhijrah ke parti lain selepas PAS menggugurkan beliau sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. – nasionalkini.my

IMG 20230522 070429 6 x 4 inch

KJ sokong konsert Coldplay

IMG 20230522 081120 6 x 4 inch

9 maut berebut masuk stadium