KUALA LUMPUR, 24 Julai – Jasa dan sumbangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, dalam PAS walaupun kini berbeza wadah perjuangan akan sentiasa dikenang.
PAS menerusi kenyataan di Facebook, menyifatkan pemergian Allahyarham Salahuddin pastinya menjadi kehilangan besar buat negara.
“Semoga Allah memberikan ketabahan, kemudahan buat seluruh keluarga, mengampunkan dan mencucuri rahmat ke atas Allahyarham.
“Sesungguhnya kematian itu pasti. Tidak Allah cepatkan atau lambatkan walau sedetik. Ampunkan dia, rahmatilah dia dan sejahterakanlah dia Ya Allah,” katanya lapor BH.
Sementara itu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Salahuddin di atas pemergiannya pada jam 9.23 malam tadi.
Beliau turut mendoakan agar Allahyarham dicucuri rahmat ke atasnya dan diampunkan segala dosanya.
“Mendapat khabar berita YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah kembali ke rahmatullah malam ini.
“Takziah kami ucapkan kepada seluruh ahli keluarga almarhum. Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” katanya.- nasionalkini.my