in

Kenyataan Ramasamy melucukan – Takiyuddin

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy ‘Kerajaan Perlu Strategi Lain Bagi Tangani PAS’ agak melucukan, dangkal malah cacat daripada banyak segi.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, selain memperakui kegagalan berterusan Putrajaya dalam memenangi kepercayaan rakyat sejak membentuk kerajaan pada tahun lepas, ia juga merupakan satu percubaan lemah untuk menjadikan PAS sebagai ‘kambing hitam’ atas kegagalan itu.

Menurut beliau, Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional dilihat gagal menunaikan janji yang pernah dibuatnya sebelum ini adalah punca utama kepada kemerosotan pengaruh dan imej mereka di mata rakyat.

“Ia tidak sekali-kali mempunyai sebarang kaitan dengan PAS atau kecenderungan orang Melayu menyokong parti ini.

“Momok ‘cakap tak serupa bikin’ yang meniti dari mulut ke mulut rakyat hari ni berkaitan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah manifestasi kegagalan itu.

“Sebagai pembangkang, PAS tidak campur tangan atau bertanggungjawab ke atas momokan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, daripada menjadikan PAS ‘kambing hitam’ atau kesedaran agama dalam kalangan orang Melayu sebagai musuh perpaduan, adalah lebih berfaedah dan jujur sekiranya Ramasamy bercakap secara berterus terang kepada kerajaan supaya memperbaiki diri dengan dasar serta sikap yang lebih layak bagi sebuah kerajaan yang dikatakan berwibawa.

Mengambil contoh kenyataan berani Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, beliau berkata, ahli Parlimen itu adalah contoh yang baik berhubung sikap seorang penyokong yang jujur dan berhemah bagi menangan masalah yang dihadapi kerajaan secara dalaman.

“Barangkali Ramasamy harus mencontohi YB (Yang Berhormat) Pasir Gudang dan tidak bertindak menyorok sampah dalaman kerajaan dengan menjadikan pihak lain sebagai sasaran.

“Sebagai sebuah parti yang terlibat dalam politik negara sejak sebelum Merdeka lagi, Pas amat maklum dan insaf tentang kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat negara yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, kenyataan pemimpin DAP itu yang seolah-olah menisbahkan kesedaran beragama orang Melayu sebagai halangan kepada perpaduan masyarakat bukan sahaja cacat dan cela, malah berlawanan dengan realiti yang wujud dan diketahui umum.

Tambah beliau, Kesedaran dan amalan beragama yang sentiasa menjadi tunjang dan teras kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat, bukan sebaliknya seperti yang cuba Ramasamy isyaratkan.

“Di sini jelas bahawa beliau tidak dapat menyembunyikan prejudisnya yang tebal terhadap Islam sebagai agama dan juga orang Melayu sebagai kelompok kaum majoriti di negara ini.

“Perlu juga ditegaskan bahawa ini bukanlah kali pertama beliau mempamerkan belangnya itu kepada rakyat dan negara,” katanya. – nasionalkini.my

Jumlah ruang pejabat ‘tak laku’ di KL membimbangkan

IMG 20230502 WA0005

Aliran keluar asing meningkat lebih 4 kali ganda kepada RM211 juta