KUALA LUMPUR, 22 Mei – Bursa Malaysia terus menyaksikan aliran keluar bersih asing buat minggu kelima berturut-turut, menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research.
Bagi minggu berakhir 19 Mei itu, jualan ekuiti pelabur asing meningkat lebih 4 kali ganda kepada RM211 juta berbanding RM46.4 juta pada minggu sebelumnya.
Laporan itu menunjukkan pelabur asing menjual sebanyak RM2.39 bilion ekuiti dalam tempoh 14 minggu daripada 20 minggu setakat tahun ini.
Pada minggu lalu, aliran keluar asing direkodkan setiap hari, kecuali Khamis yang mencatatkan aliran masuk bersih asing sebanyak RM38.5 juta.
“Pembelian ekuiti mereka pada hari berkenaan meningkat bagi kaunter seperti Maybank sebanyak RM16.9 juta diikuti Top Glove (RM9.9 juta), IHH Healthcare (RM9.8 juta) dan Inari Amerton (RM8.2 juta).
“Namun, pelabur asing kemudiannya beralih menjual ekuiti pada Jumaat selepas Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan data perdagangan negara yang menyaksikan pertumbuhannya susut 14.5 peratus pada April 2023, sebahagian besarnya disebabkan eksport domestik yang lebih rendah,” katanya dalam laporan itu hari ini.
Secara keseluruhan, terdapat 3 sektor mencatat aliran keluar paling tinggi iaitu perkhidmatan dan produk pengguna sebanyak RM70 juta, diikuti perkhidmatan dan produk perindustrian (RM40.5 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM32.5 juta).
Sektor mencatat aliran masuk asing paling tinggi ialah pengangkutan dan logistik sebanyak RM37.4 juta, teknologi (RM3.3 juta) dan penjagaan kesihatan (RM1.9 juta).
Menurut MIDF Research, pelabur institusi tempatan kekal pembeli bersih ekuiti tempatan buat minggu keempat berturut-turut sebanyak RM355.6 juta, meningkat hampir 7 kali ganda berbanding minggu sebelumnya.
Setakat tahun ini, ia menyaksikan pembelian ekuiti sebanyak RM2.45 bilion selama 15 minggu daripada 20 minggu keseluruhannya.
Sementara itu, pelabur runcit masih terus menjual ekuiti tempatan buat minggu ketiga berturut-turut berjumlah RM144.6 juta.
Daripada 20 minggu, mereka telah merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM51.2 juta selama 11 minggu dagangan.
Dari segi pergerakan pelabur, didapati purata nilai dagangan harian (ADTV) pelabur runcit, institusi tempatan dan asing masing-masing mencatat penurunan sebanyak 4.8 peratus, 5.6 peratus dan 10.5 peratus. – nasionalkini.my