PETALING JAYA, 22 Mei – Pakar hartanah menyuarakan kebimbangan mengenai jumlah ruang pejabat kosong di Kuala Lumpur, yang dianggarkan melebihi 30 juta kaki persegi, atau 10 kali ganda jumlah keluasan lantai menara Merdeka 118.
Kashif Ansari, ketua pegawai eksekutif kumpulan teknologi hartanah Juwai IQI berkata, ruang kosong membentuk 29 peratus daripada 115 juta kaki persegi ruang pejabat di pusat bandar.
Unit-unit kosong berkenaan kebanyakan terletak di kawasan pusat perniagaan, pinggir dan kawasan pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Kashif berkata, penggunaan keseluruhan ruang pejabat meningkat pada 2022, selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) COVID-19 berakhir.
“Bagaimanapun, ruang pejabat baharu memasuki pasaran lebih cepat berbanding permintaan dan tidak dapat diserap sebaiknya.
“Persaingan ini menyukarkan lagi pemilik untuk menaikkan sewa dan memaksa mereka menawarkan insentif,” katanya kepada FMT.
Kashif percaya bahawa kebanyakan ruang pejabat di pusat bandar raya Kuala Lumpur ini ‘sesuai diubahsuai’ untuk tujuan berbeza, seperti ruang penyimpanan, pusat data atau hab logistik.
Namun pengubahan ruang akan melibatkan kos tinggi dan sukar untuk dilaksanakan.
Bagaimanapun, menukar ruang pejabat ini kepada unit kediaman bukan idea yang menarik.
“Penyewa kediaman hanya akan membayar untuk ruang yang mereka duduki, manakala penyewa pejabat cenderung menyewa keseluruhan lantai,” katanya. – nasionalkini.my