WALAUPUN baru berusia 10 tahun, Nur Zara Aamily Nazri atau Zara sudah memasang impian untuk mengharumkan nama Malaysia dalam bidang peragaan.
Anak pasangan Nazri Mohd Rashid dan Dyanna Zamani itu juga sudah memulakan langkah awal dalam bidang itu.
“Sejak berusia lima tahun lagi dia memang suka jadi model, jadi kami cuma beri sokongan saja dengan apa yang dia minat,” kata Nazri ketika ditemui nasionalkini.my baru-baru ini.
Nazri berasal dari Kota Tinggi, Johor, manakala Dyanna pula anak jati Kuantan, Pahang.

Zara adalah anak sulung daripada empat beradik.
“Sejak kecil dia memang suka bergaya, tapi setahun lalu baru dia mula serius dalam bidang peragaan ini,” tambah Dyanna.
Dyanna turut memaklumkan anaknya itu sering mengambil bahagian dalam pertandingan peragaan pakaian di sekitar Kuantan, Johor dan Kuala Lumpur.
Katanya, Zara selalunya mendapat tempat ketiga terbaik dan ada kalanya muncul juara.
“Sekarang nama Zara sudah mula mendapat perhatian dan saya percaya dia boleh mencipta nama satu hari nanti,” katanya lagi.
Walaupun aktif dalam dunia peragaan, Zara tidak mengabaikan pelajaran dan turut aktif dalam aktiviti persatuan di peringkat sekolahnya.

“Pelajaran memang tetap jadi keutamaan, jadi saya selalu pesan supaya dia pandai bahagikan masa.
“Sekarang Zara dah mula berlakon iklan dan belajar untuk menjadi pengacara majlis, jadi pengurusan masa sangat penting supaya dia tak terlepas sebarang kelas dan pelajaran,” kata Dyanna.
Sementara itu, Zara berkata dia sangat meminati model terkenal, Isabella Menin dan menjadikan personaliti itu sebagai idola.
“Saya nak berjaya macam dia dan mewakili Malaysia satu hari nanti di pentas peragaan peringkat dunia,” katanya.- nasionalkini.my