in

‘Anakku Sazali’ terima zakat Selangor

Mohamad Ibrahim menyerahkan bantuan kepada Sazali pada lawatan ke kediamannya di Hulu Langat, Selangor

Oleh Adam Aariz

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Kesukaran dihadapi anak seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali, mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang bersetuju menyalurkan bantuan tambahan untuk meringankan bebannya.

LZS berkata Sazali yang didaftarkan sebagai asnaf fakir tiada sumber pendapatan sejak 10 tahun lalu selepas terbabit kemalangan jalan raya.

Beban kewangan Sazali juga bertambah mendesak apabila pembayaran royalti bagi tempoh 50 tahun membabitkan karya bapanya berakhir tahun ini.

Isterinya, Hamidah Hitam pula mengalami sakit tulang belakang dan memerlukan RM25,000 untuk menjalani pembedahan.

“Berbekalkan wang royalti tahunan karya ayahnya dan bantuan LZS, Sazali menyara isterinya yang berulang alik ke hospital bagi rawatan susulan,” menurut LZS di Facebook baru-baru ini.

Susulan itu, LZS diwakili Ketua Operasi Agihan Daerah Hulu Langat, Mohamad Ibrahim Selamat menyantuni Sazali di kediamannya untuk menyelami keperluannya.

“Hasil perbualan bersama Sazali, Insya-Allah wang tambahan sebagai belanja tambang ulang alik hospital dan kos rawatan buat isteri akan disalurkan untuknya,” katanya.

Wakil LZS membantu Sazali memohon bantuan tambahan untuk meringankan bebannya pada lawatan ke kediamannya di Hulu Langat, Selangor

Sementara itu, Sazali yang berusia 64 tahun berkata selama ini royalti arwah bapanya yang diterima digunakan secara berhemah untuk belanja tambang ulang alik hospital.

“Tetapi bila royalti itu dah tamat, saya buntu memikirkan. Mujur LZS dapat menampung kos berkenaan,” katanya.

Pada 29 Mei lalu, genap 50 tahun P Ramlee meninggal dunia akibat sakit jantung, meninggalkan peminatnya dengan legasi tidak ternilai melalui karya seni filem dan lagu merentas zaman.

Mengikut Akta Hak Cipta 1987, royalti daripada karya lagunya diagihkan kepada waris, iaitu isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma sehingga Biduanita Negara itu meninggal dunia pada 25 April 1983.

Royalti kemudian diagihkan kepada anak mereka, Allahyarham Nasir P Ramlee yang sepakat membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris lain.

Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti diuruskan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) sebagai badan pengutip royalti berdaftar itu diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali.

Sazali pernah merayu tempoh itu dilanjutkan namun kerajaan belum membuat sebarang keputusan setakat ini.- nasionalkini.my

ezgif.com webp to jpg 6

Imran Khan dituduh bersubahat kes pembunuhan terbaharu

IMG 20230609 WA0004

3 beradik maut, lori bertembung kren