in ,

Sindiket seludup rokok RM3 juta tumpas

WhatsApp Image 2023 05 17 at 2.53.53 PM
Iskandar (kanan) menunjukkan sebahagian daripada kira-kira 400 kotak kotak besar berisi rokok kretek yang dibalut dengan plastik dan guni dalam rampasan Isnin lalu.

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 17 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup rokok kretek pelbagai jenama bernilai hampir RM3 juta di perairan Tanjung Sepat, Selangor menerusi Op Murni dan Op Tiris, Isnin lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, sindiket penyeludupan rokok menggunakan bot pancung dipercayai dari Indonesia itu dikesan hasil risikan dan maklumat daripada negara jiran kira-kira pukul 11.30 malam sebelumnya.

Menurutnya, sebaik menerima maklumat tersebut, aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Ops Murni dan Op tiris telah diatur gerak ke lokasi.

“Sebaik tiba, bot pancung tanpa nombor pendaftaran dinaiki tiga suspek dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan di laluan Skim Pemisahan Trafik (TSS) ke Tanjung Sepat di kedudukan 0.07 batu nautika barat daya Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat.

“Mereka kemudian bertindak melarikan diri sehingga memasuki kawasan paya bakau dan merempuh pokok bakau di kawasan tersebut sebelum tiga tekong dan awak-awak bot dipercayai warga asing berjaya meloloskan diri dengan terjun ke laut menuju ke paya bakau,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot pancung itu membawa kira-kira 400 kotak besar berisi rokok kretek dibalut dengan plastik dan guni.

“Siasatan awal mendapati rokok seludup berkenaan dipercayai dibawa masuk ke negara ini kerana permintaan yang tinggi khususnya bagi pasaran sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Kita turut menyita bot pancung bersama enam enjin 200 kuasa kuda setiap satu yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM3.15 juta,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 05 17 at 1.11.33 PM

Dua pemandu, nelayan didakwa curi wang tunai RM900,000

WhatsApp Image 2023 05 17 at 2.07.59 PM

Mid Valley City ditutup sementara akibat insiden kebakaran