Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 10 Mei – Isytihar barangan sebagai alat ganti basikal untuk elak cukai namun sebenarnya jual basikal yang telah lengkap untuk mengaut keuntungan berganda.
Itu taktik satu sindiket penyeludupan basikal elektrik atau e-bike pertama di negeri ini yang berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka apabila merampas 264 unit basikal melibatkan nilai lebih RM742,000.
Pengarahnya, Norlela Ismail berkata, dalam serbuan Februari lalu, pihaknya turut menahan pemilik syarikat terbabit berusia 60-an selepas enam bulan menjalankan risikan.
“Rampasan melibatkan 264 unit basikal yang dipercayai dibawa masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang tanpa lesen import daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Modus operandi digunakan adalah dengan mengikrarkannya sebagai alat ganti basikal sedangkan ia adalah basikal elektrik yang lengkap diimport dari negara China yang tertakluk kepada lesen dan duti import melibatkan nilai dan duti berjumlah RM742,479.53,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Ayer Keroh hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengulas lanjut, Nolela berkata, kejayaan itu adalah antara empat aktiviti penyeludupan terbesar yang berjaya ditumpaskan JKDM Melaka sejak Disember lalu melibatkan jumlah keseluruhan RM6.5 juta.
“Kejayaan lain adalah rampasan 405,600 tin minuman keras, 3.2 juta batang rokok putih serta 90 unit topi keledar motosikal yang tidak memenuhi standard ditetapkan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM6.5 juta,” katanya – nasionalkini.my.