in

Sindiket seludup diesel subsidi lumpuh

Muhamad Radzi (depan) memeriksa salah satu tangki simpanan ditemui pihak penguat kuasa KPDN Pahang ketika melakukan serbuan di sebuah kilang di kawasan perindustrian Indera Mahkota 14, dekat Kuantan, hari ini

Oleh Arman Dhani Zafir

KUANTAN, 30 Mei – Sindiket penyeludupan minyak diesel bersubdisi berjaya dipatahkan hasil serbuan unit penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di kawasan perindustrian Indera Mahkota 14, di sini, hari ini.

Ketua Penguat kuasa KPDN Pahang, Muhamad Radzi Johari berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan hampir seminggu oleh pihaknya.

Menurutnya, tiga suspek yang dipercayai bekerja di kilang itu berjaya ditahan dalam serbuan terbabit.

“Seorang daripada suspek adalah lelaki warga Rohingya, manakala dua lagi adalah warga tempatan.

“Kita juga merampas tiga kepala lori jenis ‘prime mover’ dan menyita dua tangki berisi 16,000 liter diesel dipercayai diesel bersubdisi,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Radzi berkata, pihaknya juga berjaya merampas sebuah treler tangki minyak dan tiga set pam digunakan untuk memindahkan minyak dari tangki lori ke tangki simpanan.

Katanya, rampasan itu dianggarkan bernilai RM454,400.

“Siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Radzi memaklumkan melalui Ops Tiris yang dilancarkan sejak Mac lalu, KPDN Pahang sudah memeriksa 571 premis di seluruh negeri ini.

“Dalam operasi tersebut secara keseluruhannya KPDN Pahang berjaya menyita diesel bersubsidi berjumlah RM792,944,” katanya. – nasionalkini.my

Tak pernah pelawa PAS sertai Kerajaan Perpaduan

IMG 20230530 WA0009

Warden mengaku tak bersalah cedera pelajar