Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 17 Mei – Dua pemandu dan seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh, di sini hari ini, atas pertuduhan pecah masuk pejabat syarikat kawalan keselamatan dan mencuri wang tunai berjumlah RM900,000 Februari lalu.
Tertuduh, pemandu lori, Md Halim Lagis, pemandu van, Aszemi Dol dan nelayan, Musliandee Mustapa Kamal, masing-masing berusia 43 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dua individu yang masih bebas dituduh melakukan pecah dan masuk pejabat SRT-EON Security Services Sdn Bhd dan melarikan wang tunai RM900,000.
Kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama itu didakwa dilakukan di Taman TU2, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh antara pukul 12.30 tengah malam hingga 1 pagi 21 Februari lalu.
Sabit kesalahan kesemua tertuduh boleh dihukum penjara boleh sampai 14 tahun dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dikenakan denda atau sebat.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek dalam rayuannya bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan bagi kesemua tertuduh.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM6,000 setiap seorang dan kes akan disebut semula 27 Jun ini. – nasionalkini.my