in

Warden mengaku tak bersalah cedera pelajar

IMG 20230530 WA0009
Tertuduh, Muhammad Farhan Abdul Rashif, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas lima pertuduhan memijak dan memukul empat pelajarnya sehingga cedera sejak Februari lalu

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 30 Mei – Seorang warden sebuah pusat tahfiz terkenal di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas lima pertuduhan memijak dan memukul empat pelajarnya sehingga cedera sejak Februari lalu.

Tertuduh, Muhammad Farhan Abdul Rashif, 35, membuat pengakuan itu sebaik lima pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut dua pertuduhan di hadapan Darmafikri, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas dua pelajarnya berusia 14 tahun empat bulan dan 14 tahun 11 bulan, didakwa telah mendedahkan mereka kepada bahaya.

Mangsa telah ditampar serta ditumbuk pada bahagian pipi, ditendang pada bahagian perut dan dipijak di dada manakala seorang lagi cedera fizikal di bahagian kaki kanan.

Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah guru di pusat tahfiz dalam daerah Melaka Tengah pada 7 dan 8 Mei lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama 31(2) akta sama.

Tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan di bawah seksyen sama di hadapan Hakim Mohd. Sabri melibatkan dua pelajarnya berusia 15 tahun ketika kejadian.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mendedahkan remaja itu kepada bahaya dengan menampar pipi dan memukul badan mangsa menggunakan rotan dan memijak seorang lagi di bahagian perut.

Kesalahan itu dilakukan di surau dan gelanggang bola pusat tahfiz sama pada pertengahan Februari dan 10 Mei lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan jaminan atas faktor keselamatan mangsa.

Peguam Faathir Imran bagaimanapun merayu jaminan dibenarkan kerana pusat tahfiz itu sudah pun ditutup dan pelajar telah pulang bersama keluarga masing-masing.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, kedua-dua pihak penghakiman tidak memberikan jaminan.

Kes disebut semula 26 Jun ini. – nasionalkini.my

IMG 20230530 135706 6 x 4 inch

Sindiket seludup diesel subsidi lumpuh

350770903 909287150133055 3626298044612902850 n

Selamat menyambut Pesta Kaamatan – Agong