Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 13 Mei – Seorang pengasas dan adiknya yang juga warden sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak dan Alor Gajah di sini direman empat hari bagi membantu siasatan kes cabul, seks luar tabii dan mendera enam pelajar tahfiz berkenaan.
Perintah reman sehingga Selasa ini terhadap lelaki berusia 40 dan 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin di Kompleks Mahkamah Melaka hari ini.
Ia selepas mendapat permohonan polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, kedua-dua suspek berpakaian lokap tiba pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh pada pukul 9.35 pagi.
Semalam, media melaporkan dua beradik itu di tahan di pusat tahfiz berkenan di Tanjung Minyak antara pukul 1 hingga 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah dilaporkan berkata, penahanan itu dibuat selepas polis menerima enam laporan dibuat ibu bapa enam pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun itu antara pukul 6.29 petang hingga 9.13 malam Khamis lalu.
Menurutnya, dalam kejadian terbaharu pada 7 Mei lalu, tiga pelajar mendakwa telah dicium, diarah menghisap dan mengurut kemaluan mudir iaitu suspek pertama berusia 40 tahun warga Singapura yang juga pengetua atau pengasas pusat tahfiz berkenaan.
Tiga lagi pelajar lain pula dikatakan telah didera secara fizikal kerana enggan menuruti arahan lain dengan cara ditampar, ditumbuk, dipijak serta disebat dengan rotan oleh suspek kedua.
Semua kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah pusat bimbingan tahfiz di Tanjung Minyak dan juga Alor Gajah serta sebuah kondominium di Klebang, Melaka. – nasionalkini.my