Oleh Mohammad Ishak
JERTIH, 23 Jun – “Mereka adalah amanah dan tanggungjawab saya, jadi saya buat apa yang terbaik untuk mereka,”
Itu luahan seorang wanita berlainan agama dalam membesarkan tiga anak saudaranya.
C Cheniah, 72 tahun yang menetap di Kampung Belakang Gudang, dekat sini, tidak pernah menjadikan perbezaan agama dianutinya sebagai batu penghalang.
Dia yang beragama Hindu, diberikan amanah itu oleh adiknya yang memeluk Islam sejak kira-kira 20 tahun lalu.
Usahanya itu mendapat perhatian Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) daerah Jertih yang memberikan anugerah ‘MyHero’ kepada wanita terbabit.
Cheniah ketika ditemui berkata, dia mula menjaga tiga anak saudaranya yang berusia antara 26 hingga 29 tahun selepas adiknya berpindah ke ibu negara.
“Adik saya, Noreain Abdullah memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang lelaki beberapa tahun lalu.
“Hasil perkongsian hidup mereka, dapat tiga anak namun jodoh mereka tidak panjang.
“Selepas berpisah, adik saya berpindah ke Kuala Lumpur dan sejak itu saya yang jaga anak mereka, ” katanya.
Tiga beradik tersebut, Norehan Mohd Nor,29, Nur Shahira,27 dan Mohamad Haris Izzaudin, 26, tinggal serumah dengan Cheniah sejak kecil hingga sekarang.
Dia yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Mek Nab’ dalam kalangan penduduk di situ menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin kepada anak saudaranya itu.
Katanya, mereka sentiasa dibekalkan dengan pengetahuan agama Islam melalui kelas agama yang diadakan di sekitar daerah berkenaan.
“Noreain selalu pulang menjenguk anaknya dan saya pun sudah biasa dengan mereka yang saya sudah anggap macam anak sendiri,” katanya lagi.
Dia mengakui hidup dikelilingi masyarakat Melayu beragama Islam di Jertih banyak membantunya membentuk kehidupan lebih baik untuk anak saudaranya itu.
“Keadaan di sini memang sangat membantu saya, masyarakat di sini juga sangat mesra dan sedia memberikan bantuan, terutamanya membabitkan pelajaran agama kepada tiga beradik itu,” katanya yang turut aktif dalam kegiatan anjuran Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) kawasan berkenaan. – nasionalkini.my