Oleh Yusuf Shafie
ALOR GAJAH, 19 Mei – Pengasas pusat tahfiz terkenal di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Alor Gajah hari ini bagi tiga lagi pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelajar lelaki, sejak dua bulan lalu.
Tertuduh yang beristeri dua, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, membuat pengakuan itu sebaik tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di bilik rumah guru sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak, Melaka pada pukul 3 petang, Mac lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa sama di tempat, masa dan tarikh sama yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK) jika disabit kesalahan
Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa sama di dalam bilik rumah guru di sebuah pusat tahfiz di Alor Gajah, Melaka pada pukul 1.30 pagi, 28 April lalu.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan sebat di bawah Seksyen 377E KK yang boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari membantah jaminan dengan alasan tertuduh pernah dituduh atas jenayah sama empat tahun lalu dan kes dilepaskan tanpa dibebaskan serta dibimbangi berlaku kecenderungan sama jika dibenarkan ikat jamin.
Hujahnya lagi, tertuduh juga didakwa atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh Rabu lalu dan pendakwaan tidak menawarkan jaminan.
Peguam tertuduh bagaimanapun dalam rayuannya memohon jaminan dibenarkan dengan alasan isterinya sedang sarat mengandung.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Nariman membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan. Kes akan disebut semula dan serahan dokumen 26 Jun ini.
Rabu lalu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh atas lima tuduhan lima pertuduhan melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajarnya, sejak tahun lalu.
Nasionalkini pada 13 Mei lalu melaporkan seorang pengasas dan adiknya yang juga warden sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak dan Alor Gajah di sini direman empat hari bagi membantu siasatan kes cabul, seks luar tabii dan mendera enam pelajar tahfiz berkenaan. – nasionalkini.my