PUTRAJAYA 19 Mei – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan cadangan jangka pendek dengan mewujudkan laluan kontra melibatkan tiga lokasi bermula 3 Julai depan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.
Menterinya, Anthony Loke berkata, ia melibatkan laluan Tol Plus Sg Besi ke Persimpangan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), pemanjangan laluan kontra dari Jalan Maharajalela ke Taman Connaught dan Jalan Ampang iaitu Ampang Point ke Jalan Tun Razak.
“Ketiga-tiga laluan itu akan dibuka pada waktu puncak iaitu bermula pukul 7 hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 7 malam.
“MIROS akan menyediakan satu garis panduan bagi memastikan laluan kontra ini dapat dilaksanakan dengan baik. Cadan lain turut dikaji termasuklah cadanagn laluan trafik dua hala di beberapa persimpangan jalan dan trafik” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Teknikal Kesesakan Jalan Raya di Putrajaya hari ini.
Menurut Loke, kajian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mencatatkan kira-kira enam juta atau 85 peratus kenderaan berada di ibu negara setiap hari dan jumlah itu kian meningkat.
“Hanya 15 peratus sahaja menggunakan kenderaan pengangkutan awam dan jumlah itu tidak mencapai sasaran MOT sekurang-kurangnya 40 peratus,” ujarnya.
Loke berkata, kira-kira tujuh projek sedang dijalankan di Kuala Lumpur mengakibatkan beberapa laluan terpaksa ditutup akibat penyelenggaraan.
“Beberapa projek itu dijangka siap pada Jun dan Ogos depan. Saya sudah memberitahu DBKL agar lebih tegas dari segi pemohonan untuk melanjutkan tempoh penutupan jalan dan tidak sewenang-wenangnya memberikan kebenaran,” ujarnya. -nasionalkini.my